GD Express Carried Bhd (GDex), syarikat penghantaran ekspres tempatan, mahu meningkatkan perkhidmatan penyumberan luar keperluan logistik yang dikenal pasti enjin pertumbuhan masa depan syarikat.

Pengarah Urusannya, Teong Teck Lean, berkata perkhidmatan seperti ini sudah lama diamalkan di luar negara dan syarikat kini menawarkan kemudahan lengkap logistik kepada 10 syarikat.

“Jumlahnya dijangka terus bertambah. Pasaran ini masih baru dan kami mahu menjadi perintisnya,” katanya selepas penyenaraian saham GDex di Pasaran Mesdaq, Bursa Malaysia, semalam.

Sempena penyenaraiannya, saham GDex meraih premium 2.5 sen apabila dibuka pada harga RM0.325 berbanding harga tawaran RM0.30 dengan 755 lot saham diurusniagakan.

Pada penutupnya, sebanyak 210,922 lot saham bertukar tangan dan mencapai harga tertinggi 45sen manakala terendah 31sen. Kaunter itu ditutup pada 40 sen, naik 10 sen berbanding harga tawaran. Ia juga kaunter yang paling tinggi diniagakan semalam.

Mengenai kenaikan harga runcit petrol dan diesel yang mungkin menjejaskan operasi syarikat, Teong berkata, GDex tidak akan mengenakan bayaran tambahan bagi perkhidmatannya.

“Meskipun (kenaikan harga) memberi kesan tetapi tidak seteruk perniagaan lain. Kami tidak akan naikkan harga,” katanya yang juga Presiden Persatuan Penghantaran Ekspres Malaysia (Amec).

Selain itu, GDex bercadang meluaskan perniagaannya di sekitar Asia Tenggara dalam lima tahun lagi.

“Pada masa ini, kami mahu menumpukan kepada perniagaan tempatan yang terus menawarkan peluang cerah kepada syarikat,” katanya.

More Related News